TUDM Terima Tiga Dron ANKA Februari Ini, Perkukuh Pengawasan di Laut China Selatan
20 Desember 2025
from DEFENSE STUDIES https://ift.tt/rGQoglZ
via IFTTT
Tiga dron ANKA akan diterima Malaysia pada awal tahun 2026 (photo: TUDM)
TUDM akan terima tiga dron ANKA dari Turkiye pada Februari untuk perisikan dan pengawasan di Laut China Selatan, tambah aset di Pangkalan Udara Labuan.
SUBANG: Tiga pesawat tanpa pemandu ANKA buatan Turkiye akan diterima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pada Februari depan.
Panglima TUDM Jeneral Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris berkata aset itu akan memperkukuh keupayaan perisikan, pengawasan dan peninjauan di Laut China Selatan.
Ketiga-tiga dron Medium Altitude Long Endurance-Unmanned Aerial System (MALE-UAS) bersama Ground Station Control (GCS) sedang dalam perjalanan laut dari Turkiye.
“Aset berkenaan kini berada di atas kapal untuk penghantaran ke Malaysia,” katanya pada sidang media sempena Hari Kecemerlangan TUDM.
Beliau menjangkakan perjalanan itu mengambil masa kira-kira 45 hari.
“Insya-Allah menjelang akhir Januari ketiga-tiga pesawat bersama GCS itu akan tiba di Labuan.”
Dron ANKA itu akan ditempatkan di Pangkalan Udara Labuan sebagai pelengkap kepada pesawat pengawasan maritim CN-235 (MSA) sedia ada.
Fokus operasi aset baru itu adalah di utara Sabah.
Muhamad Norazlan menjelaskan pesawat CN-235 MSA mempunyai had dalam misi tertentu.
“Kehadiran ANKA merupakan peningkatan keupayaan yang penting,” katanya.
“Dengan atur gerak ini, kita akan dapat memantau kawasan sekitar dan mengambil tindakan susulan yang berkesan jika perlu.”
TUDM berhasrat untuk membuat perolehan lebih banyak dron di bawah Fasa Dua Pelan Pembangunan Keupayaan 2055 (CAP55).
Program ini distrukturkan dalam tiga fasa dengan sasaran awal sembilan buah dron.
“Selepas menilai prestasi pesawat yang diterima sekarang, kita akan menentukan jumlah sebenar yang diperlukan,” katanya.
“Buat masa ini sasaran kita kekal sembilan buah.”
Dalam perkembangan lain, projek pesawat peronda maritim Leonardo ATR-72 berjalan lancar dengan kemajuan kerja 60% setakat ini.
Kerja pengubahsuaian dan memperkukuh struktur sedang dijalankan bagi menempatkan sensor canggih.
Pesawat itu dijangka siap sebelum April 2027, tertakluk kepada penghantaran dua sistem utama dari Amerika Syarikat.
Sekiranya berjalan lancar, ia dijangka diperkenalkan kepada umum semasa LIMA ‘27.
(Bernama)
from DEFENSE STUDIES https://ift.tt/rGQoglZ
via IFTTT

Post a Comment