Panglima Tentera Udara Tengok Progres Pesawat MPA P-72M di Itali

20 Desember 2024

Pesawat Leonardo ATR-72 MPA (P-72M) pesanan Malaysia ditinjau Panglima Tentera Udara Malaysia (all photos: TUDM)

Lawatan Kerja Panglima Tentera Udara ke Itali: Tinjau Perkembangan Perolehan Pesawat MPA P-72M dan Mengukuhkan Kerjasama Strategik TUDM-ITAF

Panglima Tentera Udara (PTU), Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM telah melaksanakan lawatan kerja ke Itali dari 8 hingga 14 Disember 2024. Lawatan ini bertujuan meninjau perkembangan terkini perolehan pesawat Maritime Patrol Aircraft (MPA) P-72M oleh syarikat Leonardo S.p.A. Selain itu, ia juga bertujuan mengukuhkan kerjasama strategik antara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Italian Air Force (ITAF).

Lawatan ini merupakan lawatan sulung PTU ke Itali selepas kontrak perolehan pesawat MPA tersebut dimeterai antara kerajaan Malaysia dan Leonardo S.p.A. pada tahun 2023. PTU diiringi oleh Komander Air Warfare Centre, Kolonel Abdul Rahim bin Jusoh TUDM serta Tim Projek MPA.


Destinasi pertama dalam rangka lawatan kerja PTU adalah di LAD Caselle, Turin, lokasi modifikasi pesawat P-72M yang sedang giat dilaksanakan. Delegasi diberikan taklimat komprehensif mengenai status terkini projek dan meninjau kerja-kerja modifikasi yang telah dilakukan.

PTU seterusnya mengadakan kunjungan hormat ke atas rakan sejawat beliau, Lieutenant General Luca Goretti, Ketua Staf ITAF, di ITAF HQ, Rome. Perbincangan empat mata ini bertujuan mengeratkan lagi kerjasama bilateral khususnya dalam aspek latihan dan perkongsian kepakaran ITAF yang berpengalaman luas dalam pengoperasian pesawat MPA jenis tersebut.


Dalam pertemuan tersebut, PTU turut menjemput Lieutenant General Luca Goretti dan delegasi ITAF untuk menghadiri Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi (LIMA) 2025 yang dijadualkan berlangsung pada 20-24 Mei 2025.

PTU juga berkesempatan melawat ibu pejabat Leonardo S.p.A. dan bertemu pengurusan tertinggi syarikat itu. Pertemuan ini membincangkan usaha untuk mempercepatkan proses pemasangan sistem pesawat serta penerimaan pesawat P-72M bagi memperkukuh kesiapsiagaan operasi TUDM selaras dengan Pelan Pembangunan Keupayaan TUDM 2055 (CAP55).


Semasa berada di Rome, PTU juga turut menghadiri majlis makan malam yang dihoskan oleh Duta Besar Malaysia ke Itali, TYT Ambassador Dato’ Zahid Rastam. Majlis ini menjadi platform kepada  kedua-dua pihak membincangkan isu-isu semasa berkenaan keselamatan dan pertahanan serta potensi kerjasama masa hadapan antara TUDM dan ITAF.

Mengakhiri lawatan kerja, PTU dan delegasi turut melawat ke beberapa tempat strategik, termasuk sistem baru kawalan pertahanan udara di Pratica di Mare Air Base dan ELT Elettronica Group, member syarikat berpengaruh dalam teknologi elektronik pertahanan.


Semasa di Practica Di Mare Air Base, delegasi TUDM berpeluang menyaksikan demonstrasi pengoperasian sistem Command & Control (C2) berteknologi tinggi yang  dibangunkan oleh Leonardo dan dikenali sebagai "Blueshield" bagi pengoperasian sistem pertahanan udara ITAF.

Dengan laksananya lawatan ini, ia mencerminkan komitmen TUDM di dalam memastikan kelancaran perolehan aset-aset baharu serta memastikan jalinan kerjasama strategik jangka panjang antara TUDM dan ITAF dapat dicapai.



from DEFENSE STUDIES https://ift.tt/wUvOfou
via IFTTT