Serah Terima Pesawat F/A-18D TUDM Kedua Hasil Upgrade

30 April 2024

Pesawat F/A-18D M45-07 TUDM merupakan pesawat kedua setelah F/A-18D M45-01 yang telah selesai pada 5 Januari 2023 (photos: TUDM)

Majlis Serah Terima Pesawat F/A-18D M45-07 Yang Siap menjalani Penyelenggaraan di Bawah Program LPM-12Y

BUTTERWORTH – Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM telah hadir menyaksikan Majlis Serah Terima Pesawat F/A-18D M45-07 yang siap menjalani penyelenggaraan Local Planned Maintenance 12 Years (LPM12Y) oleh Syarikat Rosebank Engineeering. Majlis yang diadakan di Hangar Hornet Readiness Center (HRC), Pangkalan Udara Butterworth pada hari ini telah melibatkan penyerahan pesawat daripada pihak Rosebank Engineering yang diwakili oleh Senior Maintenance Manager, Mr Joshua Robinson kepada Leftenan Kolonel Muhd Faizal bin Ab Rahim TUDM, Pegawai Memerintah No 18 Skuadron.

LPM-12Y merupakan senggaraan peringkat Depot Level Maintenance (DLM) bagi pesawat F/A-18D yang telah dijalankan di dalam negara sejak tahun 2021. M45-07 merupakan pesawat kedua yang telah selesai senggaraan yang bermula dari 5 Jan 2023 sehingga 15 April 2024. Penyelengaraan ini melibatkan pemeriksaan menyeluruh terhadap struktur pesawat, penilaian kerosakan dan baik pulih kerosakan struktur yang disebabkan haus dan lusuh atau kemerosotan material ke atas pesawat akibat faktor persekitaran dan pengeporasian pesawat. 

Secara amnya, pesawat F/A-18D ini perlu menjalani penyelenggaraan di luar negara. Namun atas usahasama erat antara TUDM dengan pemain industri aeroangkasa dalam dan luar negara, iaitu G7 Global Aerospace (G7GA) dan Rosebank Engineering, senggaraan tersebut berjaya dilaksanakan buat kali kedua di dalam negara. Kejayaan ini adalah satu pencapaian yang sangat membanggakan dan peningkatan kepakaran senggaraan oleh kejuruteraan aeroangkasa tempatan.

Usaha bersepadu ini juga bertepatan dengan Tonggak Ke-5 Perintah Ulung PTU Ke-20 iaitu Peningkatan Keupayaan TUDM Melalui Kolaborasi Bersama Industri Pertahanan Tempatan dalam membangun dan mempertingkatkan kemampuan angkatan udara. Untuk jangka masa panjang, perkara ini dapat menjimatkan kos pembangunan angkatan atau penyelenggaraan aset-aset TUDM serta mewujudkan sinergi baharu secara berterusan dengan industri pertahanan tempatan. 

Turut hadir di majlis ini adalah Panglima Operasi Udara, Lt Jen Datuk Mohd Shahada bin Ismail TUDM; Panglima Bantuan Udara, Mej Jen Masro bin Kaliwon TUDM; Panglima Wilayah Udara 1, Mej Jen Dato’ Mahadzer bin Amin TUDM; AKS Kejuruteraan, Mej Jen Hishammuddin bin Abdul Rahman TUDM; Komander Pangkalan Udara Butterworth, Brig Jen Khairol Muzambi bin Salehin TUDM serta pegawai kanan TUDM. Manakala pihak Rosebank Engineering pula turut dihadiri oleh Senior Maintenance Manager, Mr Joshua Robinson dan G7 Global Aerospace oleh Managing Director G7GA, Datuk Rosdi bin Mahmud.

(TUDM)



from DEFENSE STUDIES https://bit.ly/3WfNaS5
via IFTTT