Delegasi Malaysia Tinjau Ex-USCGC Valiant, Bakal Dihibahkan ke APMM

20 September 2026

Peninjauan ke Ex-USCGC Valiant di USA (photo: taubmansonline)

Ketua Setiausaha KDN tinjau Ex-USCGC Valiant, bakal perkukuh keupayaan aset Maritim Malaysia
Baltimore – Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Dr. Haji Awang Alik bin Jeman bersama Ketua Pengarah Maritim, Laksamana Maritim Datuk Haji Mohd Rosli bin Abdullah, telah mengadakan lawatan kerja rasmi ke Waterfront Operations Training Center (WOTC), United States Coast Guard (USCG) bagi meninjau dan menilai tawaran penerimaan sebuah kapal ex-USCGC VALIANT daripada Kerajaan Amerika Syarikat.


Lawatan merupakan sebahagian daripada usaha Kerajaan untuk memperkukuh keupayaan aset Maritim Malaysia menerusi kerjasama strategik antara Malaysia dan Amerika Syarikat, susulan kejayaan pelaksanaan penerimaan KM BENDAHARA pada tahun 2025.

Sepanjang lawatan, delegasi telah diberikan taklimat komprehensif berhubung status serta kebolehupayaan kapal yang meliputi sistem pendorongan dan jentera utama, janakuasa, sistem navigasi dan komunikasi, sistem persenjataan, alat ganti serta pelbagai aspek teknikal dan logistik yang berkaitan.


Delegasi turut mengadakan pemeriksaan fizikal ke atas kapal bagi menilai tahap kesiapsiagaan, keupayaan operasi serta kesesuaiannya untuk memenuhi keperluan pengoperasian Maritim Malaysia dalam melaksanakan tugas penguatkuasaan undang-undang, keselamatan maritim dan operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT).

Lawatan turut membuka ruang kepada kedua-dua pihak untuk bertukar pandangan mengenai aspek pengoperasian, penyelenggaraan serta sokongan teknikal, sekali gus memperkukuh hubungan kerjasama strategik yang telah sekian lama terjalin antara Maritim Malaysia dan United States Coast Guard.


Usaha penilaian ini mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan dalam memperkasakan keupayaan aset Maritim, sekali gus meningkatkan kesiapsiagaan operasi bagi memastikan keselamatan, kedaulatan dan kepentingan maritim negara terus terpelihara.



from DEFENSE STUDIES https://ift.tt/VhGuf1p
via IFTTT