Kapal Ex USCG Cutter Steadfast Tiba di Malaysia
06 November 2025
from DEFENSE STUDIES https://ift.tt/q2F8yEQ
via IFTTT
Kapal ex USCGC Steadfast akan diberi nama KM Bendahara (photo: MMR)
KLANG – Hujan rahmat mengiringi ketibaan Kapal Ex- USCG Cutter Steadfast milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di Pusat Hidrografi Nasional (PHN), Pulau Indah hari ini selepas menempuh pelayaran mencabar sejauh 10,600 batu nautika dari Baltimore, Amerika Syarikat.
Ketibaan kapal berkenaan telah disambut Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Haji Mohd Rosli bin Abdullah, bersama Timbalan ketua Pengarah Logistik Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan bin Ibrahim serta pegawai kanan Maritim Malaysia.
Dalam ucapan beliau, Datuk Haji Mohd Rosli menzahirkan rasa bangga di atas semangat dan kecekalan kru kapal dalam misi membawa kapal yang diberikan pihak US Coast Guard (USCG) sehingga berjaya tiba di perairan negara.
“Alhamdulillah, pelayaran ini bukan sahaja menguji ketahanan mental dan fizikal kru, malah membuktikan keupayaan tinggi anggota Maritim Malaysia dalam mengemudi kapal di perairan antarabangsa.”
“Kejayaan membawa pulang kapal ini menandakan satu lagi pencapaian besar dalam memperkukuh keselamatan serta keupayaan operasi aset Maritim Malaysia di perairan negara,” tambah beliau.
Turut hadir sama pada majlis berkenaan Ketua Pengarah PHN, Laksamana Muda Dr. Najhan bin Md Said, serta wakil Kedutaan Amerika Syarikat di Malaysia.
Terdahulu Pegawai Memerintah kapal, Komander Maritim Mohd Fahimi bin Omar dalam ucapannya turut berkongsi bagaimana kapal berkenaan telah berjaya merentasi tujuh lautan iaitu Lautan Atlantik, Laut Mediterranean, Laut Merah, Laut Arab, Lautan Hindi, Laut Andaman dan Laut China Selatan.
Kapal tersebut tambah beliau, turut melintasi empat teluk utama dunia iaitu Teluk Chesapeake, Teluk Aden, Teluk Mannar dan Teluk Bengal, serta melalui dua selat yang terkenal iaitu Selat Gibraltar dan Selat Melaka.
Malah, beliau turut berkongsi bagaimana kapal berkenaan turut berjaya menempuh Terusan Suez, antara terusan paling sibuk di dunia yang menghubungkan Laut Mediterranean dan Laut Merah.
“Pelayaran kru selama 49 hari ini menjadi antara misi terpanjang dan paling bersejarah sejak Maritim Malaysia ditubuhkan dua dekad lalu.”
“Malah ia telah menjadi pengalaman yang tidak ternilai kepada kesemua 50 orang kru yang terlibat dalam misi ini,” jelas Fahimi.
Ketibaan kapal ini bukan sahaja menjadi aset yang bakal memperkukuhkan keselamatan Zon Maritim Malaysia, tetapi lambang semangat juang Agensi ini yang sentiasa komited mempertahankan keselamatan dan kedaulatan perairan negara.
Selain warga Maritim Malaysia, ketibaan kru kapal turut disambut meriah oleh kaum keluarga mereka selepas berpisah hampir empat bulan bagi menjayakan misi tersebut.
(APMM)
from DEFENSE STUDIES https://ift.tt/q2F8yEQ
via IFTTT


Post a Comment