Yang Di-Pertuan Agong Hibahkan Kapal Pencegat Berteknologi Tinggi kepada Maritim Malaysia

09 Maret 2025

Kapal boat IC 1170CC dengan panjang 12,6 meter ini mempunyai kecepatan maksimum 56 knot (photos: Maritim Malaysia)

Yang Di-Pertuan Agong Kurniakan Bot Pemintas Bertekniologi Tinggi Kepada Maritim Malaysia 

KUANTAN – Maritim Negeri Pahang menerima aset baharu yang bakal meningkatkan keupayaan operasi kawalan maritim apabila Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan mengurniakan sebuah bot pemintas berteknologi tinggi kepada agensi ini menerusi Royal Boat Hangar Johor, di Pos Maritim Teluk Gading, semalam.

Timbalan Ketua Pengarah Logistik, Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan bin Ibrahim berkata, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah perkenan untuk mengurniakan bot ini kepada Maritim Malaysia bagi meningkatkan keupayaan pengawasan dan pintasan dalam operasi kawalan perairan negara.

Ujar beliau lagi, kurniaan ini mencerminkan keprihatinan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong terhadap keselamatan perairan negara dan kesiapsiagaan Maritim Malaysia dalam mengekang ancaman jenayah maritim.

“Bot ini adalah pinjaman tanpa kos bagi tempoh lima tahun bermula 1 Mac 2025 dan akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk mempertingkat keupayaan rondaan serta operasi penguatkuasaan Maritim Malaysia,” katanya melalui kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Maritim Negeri Pahang.

Bot IC 1170CC ini mempunyai spesifikasi canggih dengan panjang 12.6 meter dan lebar 3.5 meter, serta dilengkapi enjin berkuasa tinggi yang membolehkannya mencapai kelajuan maksimum 56 knot, manakala kelajuan pelayaran optimum ialah 40 knot.

Reka bentuk dalaman bot ini turut diubah suai secara khusus bagi memastikan keselesaan serta kelancaran pergerakan kru semasa operasi. Ia juga dilengkapi Aluminium Trailer, membolehkannya dipindahkan dengan mudah mengikut keperluan operasi serta memudahkan proses up-slip dan down-slip dalam tempoh segera.

Dibina berasaskan kejuruteraan moden, bot ini direka sebagai aset pemintas berkelajuan tinggi yang berupaya beroperasi secara optimum, menjadikannya aset strategik dalam usaha memperkukuhkan keselamatan perairan negara.

“Bot ini akan digunakan dalam pelbagai operasi termasuk rondaan maritim, Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) serta penguatkuasaan undang-undang di laut.”

“Keupayaannya akan memperkasakan lagi peranan Maritim Malaysia dalam menghalang pencerobohan, penyeludupan serta aktiviti jenayah rentas sempadan, khususnya di perairan Pahang,” jelas Datuk Saiful lagi.

Penyerahan bot ini turut menjadi simbolik kepada komitmen Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dalam menyokong usaha Maritim Malaysia bagi memastikan keselamatan perairan negara berada pada tahap tertinggi.

Terdahulu, majlis penyerahan dimulakan dengan sesi menandatangani buku lawatan, diikuti upacara menandatangani sijil penyerahan antara Royal Boat Hangar Johor dan Maritim Malaysia. Ia diakhiri dengan sesi lawatan ke bot baharu tersebut di jeti Teluk Gading.

Turut hadir dalam majlis bersejarah ini ialah Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Haji Mazlan bin Mat Rejab, Pengarah Bahagian Kejuruteraan, Laksamana Pertama Maritim Mohd Rizal bin Hishamuddin, Timbalan Pengarah Operasi Maritim Negeri Pahang, Kepten Maritim Mohd Marmizi bin Md Nor, serta wakil Royal Boat Hangar Johor, Encik Mohamad Yuni bin Ismail.

Kurniaan ini bukan sahaja satu penghormatan buat Maritim Malaysia Negeri Pahang, tetapi juga satu amanah besar dalam memastikan keselamatan perairan negara sentiasa terpelihara.



from DEFENSE STUDIES https://ift.tt/mhLqFb9
via IFTTT