Pesawat Falcon 900 TUDM Ditamatkan Perkhidmatan Setelah 35 Tahun Berbakti
20 Februari 2025
from DEFENSE STUDIES https://ift.tt/wHuvJq2
via IFTTT
Pesawat Falcon 900 TUDM M37-01 (photos: TUDM)
SUBANG – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) secara rasmi menamatkan perkhidmatan pesawat Falcon 900, sebuah pesawat khas yang digunakan bagi penerbangan VVIP kenamaan negara, dalam satu majlis penuh istiadat di Hangar A, No. 2 Skuadron, Pangkalan Udara Subang, hari ini.
Majlis tersebut disempurnakan oleh Panglima Operasi Udara, Leftenan Jeneral Datuk Mohd Shahada bin Ismail TUDM, dan turut dihadiri oleh Panglima Bantuan Udara, Mejar Jeneral Dato’ Masro bin Kaliwon TUDM; Panglima Wilayah Udara 1, Mejar Jeneral Dato’ Mahadzer bin Amin TUDM; serta Komander Pangkalan Udara Subang, Brigedier Jeneral Yusri bin Jamari TUDM. Turut hadir dalam majlis bersejarah ini ialah wakil daripada AIROD Sdn. Bhd., Kolonel Muhammad Suhaimi bin Ashari TUDM (Bersara).
Sebagai simbolik penghormatan terakhir, pesawat Falcon 900 melakukan pendaratan ‘Taxi-In’ terakhirnya sebelum disambut dengan upacara ‘Water Salute’ oleh kenderaan Perkhidmatan Menyelamat Kebakaran Lapangan Terbang (AFRS), Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang.
Pesawat Falcon 900 mula berkhidmat dengan TUDM pada 23 Mei 1989 dan menjadi sebahagian daripada armada penerbangan rasmi bagi pemimpin negara. Dalam tempoh 35 tahun, pesawat ini telah menerbangkan ramai pemimpin utama negara termasuk Perdana Menteri ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Timbalan Perdana Menteri; Sultan-sultan; serta pemimpin negara lain.
"Walaupun sudah mencapai usia 35 tahun, Falcon 900 masih menunjukkan prestasi cemerlang. Malah, pada 17 Februari 2024, pesawat ini berjaya melaksanakan misi penting membawa Timbalan Perdana Menteri 1 ke Jepun," kata Pegawai Memerintah No. 2 Skuadron, Leftenan Kolonel Hafizuddin bin Rashid TUDM, dalam ucapannya.
Bagaimanapun, beliau mengakui bahawa keputusan menamatkan perkhidmatan pesawat ini yang diumumkan pada 29 November 2024 mengejutkan banyak pihak. Namun, keputusan ini diterima sebagai sebahagian daripada perancangan strategik, ekonomi, dan keselamatan yang telah ditetapkan oleh TUDM.
Panglima Operasi Udara, Leftenan Jeneral Datuk Mohd Shahada bin Ismail TUDM, dalam ucapannya, menyifatkan majlis ini bukan sekadar simbolik kepada penamatan perkhidmatan Falcon 900, tetapi juga sebagai permulaan kepada era baharu dalam pengoperasian pesawat VVIP TUDM.
"Hari ini, kita bukan sahaja mengenang sejarah pesawat ini tetapi juga menghargai setiap individu yang terlibat dalam operasinya. Falcon 900 telah berkhidmat dengan cemerlang dalam setiap misi penerbangan VVIP, memberikan sumbangan besar kepada imej negara dan TUDM," katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa penamatan awal pesawat ini merupakan satu keputusan yang sukar tetapi perlu dilakukan bagi memastikan TUDM terus maju dengan perancangan aset yang lebih moden dan berdaya saing.
(TUDM)
from DEFENSE STUDIES https://ift.tt/wHuvJq2
via IFTTT
Post a Comment