Gagal Selesaikan Kapal OPV 2 dan OPV 3, Malaysia Putuskan Kontrak dengan Galangan

11 Februari 2025

OPV 1 KM Tun Fatimah (photo: APMM)

Gagal siap kapal peronda pesisir APMM, kontrak pembina ditamatkan
Farhana Farush – Kuala Lumpur

Tanda tanya mengenai status semasa pembinaan dua lagi kapal peronda luar pesisir (OPV) Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) terjawab selepas kerajaan menamatkan kontrak dengan THHE Destini Sdn Bhd (TDSB) setelah ia gagal menyiapkan projek berkenaan.

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata susulan penamatan yang ditandatangani pada 31 Disember lalu, syarikat itu dikenakan kadar denda dan ganti rugi ditetapkan (LAD) sebanyak RM12.49 juta [AS$2.82 juta] di atas kelewatan menyiapkan kapal OPV 2 dan OPV 3.

Beliau berkata keputusan itu dipersetujui oleh Kabinet pada 22 Mac 2024 sebelum ia dilaksanakan. 


“Kementerian Dalam Negeri dibenarkan menamatkan kontrak projek tersebut setelah mendapat pandangan daripada Jabatan Peguam Negara. Sehubungan itu, kerajaan menandatangani perjanjian penamatan bersama pihak syarikat pada 31 Disember 2024,” katanya dalam jawapan bertulis yang dimuat naik dalam laman web Parlimen pada Khamis malam.

Saifuddin berkata TDSB turut dikenakan LAD di atas kelewatan penyiapan kapal OPV 1 yang berjumlah RM5.58 juta [AS$1.26 juta] dan RM9,600 [AS$2,167] bagi kelewatan pembekalan baki 12 unit General Purpose Machine Gun (GPMG) serta pembekalan Unmanned Aerial Vehicle (UAV) bermula 1 Oktober 2024 hingga tarikh penerimaan oleh kerajaan.

Kerajaan memeterai kontrak perolehan tiga OPV bernilai RM738.9 juta [AS$166.82 juta] dengan TDSB pada Januari 2017 dan projek tersebut sepatutnya siap sepenuhnya pada Julai 2020.

Selepas beberapa kali tertangguh, TDSB hanya berjaya menyerahkan OPV 1 yang dinamakan KM Tun Fatimah pada Januari tahun lalu.



from DEFENSE STUDIES https://ift.tt/BpkiCUH
via IFTTT