Upacara Steel Cutting bagi Littoral Mission Ship Batch 2

07 Desember 2024

Upacara steel cutting LSM Batch 2 TLDM (photos: TLDM)

ISTANBUL - Upacara Steel Cutting bagi projek Littoral Mission Ship Batch 2 (LMSB2) TLDM telah dilaksanakan di Istanbul Shipyard, Turkiye, hari ini. 

Majlis telah disempurnakan oleh Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk Zulhelmy bin Ithnain dan disaksikan oleh delegasi Kementerian Pertahanan yang diketuai Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan), Dr. Mohd Bakhari bin Ismail serta wakil TLDM dan Pasukan Projek LMSB2. Turut hadir adalah Tuan Yang Terutama Sazali bin Mustafa Kamal, Duta Besar Malaysia ke Republik Turkiye selaku tetamu kehormat dan Mr Özgür Güleryüz, General Manager Savunma Teknolojileri Muhendislik (STM).

Steel Cutting merupakan acara pemotongan plat besi kapal sebagai simbolik permulaan aktiviti pembinaan kapal. Reka bentuk berasaskan kapal korvet Kelas ADA ini telah dipilih oleh TLDM melalui memorandum persefahaman Government-to-Government (G2G) yang mana STM telah dilantik sebagai kontraktor utama. 

Kapal korvet Kelas ADA telah dioperasikan oleh Angkatan Laut Turkiye dan Tentera Laut Pakistan. Selain itu, kapal kelas yang sama juga dalam proses pembinaan dan menjalani fasa ujian untuk perolehan Tentera Laut Pakistan dan Tentera Laut Ukraine.

Kapal LMSB2 ini mempunyai keupayaan peperangan pelbagai dimensi merangkumi peperangan anti permukaan, peperangan anti udara dan peperangan elektronik serta bakal meningkatkan keupayaan tempur dan keupayaan operasi TLDM. Kapal ini turut dilengkapi dengan sistem persenjataan dan penderia berteknologi tinggi bagi di atur gerak melaksanakan misi dalam domain maritim negara.

Pembinaan kapal ini dijangka akan siap sepenuhnya pada penghujung 2027 sebelum diserahkan kepada TLDM.

(TLDM)



from DEFENSE STUDIES https://ift.tt/4gnvK2e
via IFTTT