OSTEX EAST 2/2024 Platform Uji Kesiagaan Armada Timur

29 November 2024

OSTEX EAST 2/2024 eksesais tahunan Armada Timur TLDM (photos: TLDM)

Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) melalui Markas Pemerintahan Armada Timur telah melaksanakan OSTEX EAST 2/2024 bermula 11 sehingga 18 Nov 24. OSTEX EAST 2/2024 (Operational Sea Training Exercise East 2/2024) merupakan eksesais tahunan yang menjadi platform utama bagi menguji kecekapan warga The Navy People dan kesiagaan aset-aset di Armada Timur.


Siri eksesais kali ini dilaksanakan dengan misi menyediakan armada yang sentiasa bersedia menghadapi sebarang situasi ancaman maritim. Eksesais ini juga bertujuan mempertingkatkan kemahiran warga dalam aspek navigasi, ilmu kelautan dan peperangan. Umpama serampang dua mata, ia turut memperagakan kehadiran aset-aset TLDM di Zon Maritim Malaysia di samping mewujudkan, mengurus serta mengaplikasikan komunikasi taktikal dalam melaksanakan operasi maritim.


OSTEX EAST 2/2024 ini telah dirasmikan di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu pada 13 Nov 24 yang lalu oleh Panglima Armada Timur, Laksamana Madya Datuk Hj Muhammad Ruzelme bin Hj Ahmad Fahimy. Usai majlis perasmian, pelbagai pengisian seiring latihan Fasa Pelabuhan telah dilaksanakan antaranya adalah taklimat eksesais, perbincangan operasi di antara pegawai operasi kapal, Subject Matter Expert Exchange oleh TUDM, latihan praktikal di pelabuhan dan taklimat sebelum pelayaran. 


Fasa Laut yang juga menjadi medan latihan sebenar bagi menguji warga telah berlangsung pada 14 sehingga 17 Nov 24 di mana 8 buah kapal TLDM terlibat iaitu KD KELANTAN, KD KEDAH, KD SELANGOR, KD KERIS, KD SUNDANG, KD BADIK, KD SERANG dan KD TODAK serta sebuah kapal selam iaitu KD TUN RAZAK. Kapal-kapal ini telah belayar merentasi perairan Laut China Selatan menuju ke perairan Gugusan Semarang Peninjau (GSP).


Antara siri latihan utama yang telah dilaksanakan merangkumi siri manuvra taktis, penembakan Naval Gunfire Support (NGFS), penembakan sasaran permukaan statik, Air Defence Exercise (ADEX), Anti Submarine Warfare Exercise (ASWX), Over the Horizon Targetting (OTHT), latihan menggeledah dan mendarat, evolusi ilmu kelautan dan pendaratan helikopter di kapal. 


Disamping itu, semasa Fasa Laut juga turut melibatkan aset TUDM iaitu pesawat HAWK, pesawat EC 725 dan pesawat CN 235 yang mana kerjasama ini dapat meningkatkan tahap kesiagaan bersama antara kedua-dua perkhidmatan dalam menangani konflik maritim secara operasi bersama.

Panglima Armada Timur, Laksamana Madya Datuk Hj Muhammad Ruzelme bin Hj Ahmad Fahimy dalam ucapan pembukaan eksesais menyatakan bahawa melalui platform latihan sebegini, TLDM dapat memastikan momentum latihan bagi Armada Timur terus kekal dan sentiasa di tahap terbaik. 


Ia juga dapat menyediakan armada yang mampu bersedia dalam menangani pelbagai situasi ancaman melibatkan kedaulatan perairan maritim selain turut menyediakan warga dalam menghadapi eksesais terbesar TLDM iaitu Eksesais KERISMAS yang dijangka akan dilaksanakan pada bulan Febuari tahun hadapan.


Eksesais OSTEX EAST akan sentiasa dilaksanakan seiring peranan TLDM ketika aman iaitu menyediakan angkatan yang kompeten dan siaga selain turut memupuk semangat warga The Navy People yang sentiasa ikhlas berjuang melindungi kedaulatan dan keselamatan maritim Malaysia.



from DEFENSE STUDIES https://ift.tt/8mnMsW9
via IFTTT