Keunggulan Combined Arms - Keupayaan Aset TDM Terus Diperkasa
19 Oktober 2021
from DEFENSE STUDIES https://bit.ly/3DQ52qf
via IFTTT
Latihan Kuasa Tembakan 2021 (all photos : TDM)
Keupayaan Tactical Display dan Close Air Support (CAS) bagi pesawat TUDM dalam latihan ini telah dipertontonkan kelmarin kepada para penuntut MTAT yang melibatkan aset-aset pesawat pejuang iaitu SU-30 MKM dan Hawk 208.
GEMAS - Latihan Kuasa Tembakan (LKT) Tahun 2021 diadakan bertempat di Lapang Sasar Asahan, Kem Syed Sirajuddin, Gemas, Negeri Sembilan.
Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Tan Sri Datuk Zamrose bin Mohd Zain, mengiringi Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Hj Affendi bin Buang TUDM, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohd Khairul Adib bin Abd Rahman dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Dato’ Seri Muez bin Abd Aziz bagi menyaksikan LKT tahun 2021.
Latihan ini diadakan untuk mempamerkan keupayaan sesebuah combat team dalam ketumbukan combined arms, melalui maneuver dan kuasa tembakan secara segmen dinamik yang merangkumi senjata Bantuan Infantri, Mekanize, Armor, Artileri, Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD) dan Pesawat Udara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) serta Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dalam memperagakan keberkesanan sistem persenjataan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Selain itu, latihan ini turut menguji pengurusan pasukan, keupayaan anggota dan memperagakan kompetensi anggota yang terlibat dalam melaksanakan latihan tembakan peluru hidup. Ia juga diadakan sebagai memberi pendedahan kepada para penuntut Kursus Pemerintah dan Staf Malaysia (KPSM) dari Maktab Turus Angkatan Tentera (MTAT) yang telah dipertontonkan kepada mereka pada 12 Oktober 2021 yang lalu.
Latihan ini, kali terakhir diadakan adalah pada tahun 2019, namun dalam skala kecil disebabkan negara ketika itu dilanda dengan keadaan jerebu. Latihan ini tidak dapat dilaksanakan pada tahun 2020 atas wabak pandemik COVID-19 yang melanda negara hingga saat ini.
Latihan hari ini melibatkan keseluruhan penglibatan seramai 969 Pegawai dan anggota di samping 106 buah aset dan persenjataan melibatkan Kenderaan Kereta Kebal Pendekar, Kenderaan Perisai Gempita, Lipan Bara, Adnan dan Malaysian Infantry Fighting Vehicle (MIFV). Manakala aset persenjataan pula merangkumi persenjataan kecil hingga ke senjata berkaliber besar seperti Unit Lancar Berganda (ULB) Astros II, Meriam 155 MM G5 MK III, Meriam 105 MM PH L5, Anti-Tank Guided Missile (ATGW) Ingwe, Baktar Shikan, Mortar 120 MM dan 81MM dan Rocket-Propelled Grenade (RPG-7 40MM).
Selain itu, turut dilibatkan adalah Persenjataan Kompeni (Colt M4, Minimi, M203, GPMG), Persenjataan Bantuan Kompeni (RPG-7, Mortar 60 MM) dan Senjata Batalion - Heavy Machine Gun (HMG) dan Automatic Grenade Launcher (AGL).
Manakala pesawat yang terlibat melibatkan Helicopter Super Lynx dari TLDM yang dipasang dengan persenjataan HMG dan Helicopter Agusta A109 LOH bersama Gatling Gun dari Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD).
Pada masa yang sama, keupayaan yang ditonjolkan adalah sebagai keyakinan kepada rakyat bahawa kesiagaan ATM pada tugas utama tidak terjejas walaupun kini tumpuan diberikan kepada pelaksanaan tugas sekunder iaitu membantu negara menangani penularan wabak COVID-19.
Melalui latihan ini juga jelas menggambarkan anggota tentera mampu mengendalikan platform kenderaan dan persenjataan yang sophisticated dan terkini secara profesional sebagaimana latihan yang diberikan. Selain itu, turut mempamerkan kemampuan dan persediaan secara fizikal, mental dan intellectual untuk diaturgerakkan pada bila-bila masa sahaja mereka diperlukan.
Secara keseluruhan, latihan ini secara tidak langsung telah mempamerkan kredibiliti Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam menggalas tugas utama iaitu bagi memastikan keselamatan dan kedaulatan negara sentiasa terpelihara.
Pelaksanaan latihan tempur sebegini adalah sejajar dengan Tonggak Pertama Perintah Ulung PTD Ke-28, “Kelangsungan Misi dan Kesiagaan”, yang memberikan penekanan kepada aspek kesiagaan operasi untuk siap sedia diaturgerak pada sebilang masa.
Turut hadir dalam menyaksikan latihan adalah Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Dato’ Mohammad bin Ab Rahman, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Muhammad Hafizuddeain bin Jantan, Panglima Medan Timur Tentera Darat, Leftenan Jeneral Dato’ Mardzuki bin Muhammad, serta penglibatan minimum Pegawai-pegawai Kanan Tentera Darat Malaysia.
(TDM)
from DEFENSE STUDIES https://bit.ly/3DQ52qf
via IFTTT
Post a Comment