Dua Buah Pesawat FA-50M Selamat Tiba di Pangkalan Udara Kuantan

02 November 2026

Pesawat FA-50M ‘M58-01’ dan 'M58-02' tiba di Pangkalan Udara Kuantan (photos: TUDM)

KUANTAN – Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Haji Muhamad Norazlan bin Aris TUDM menyaksikan ketibaan dua buah pesawat FA-50M di Pangkalan Udara Kuantan, menandakan penghantaran pertama pesawat tersebut daripada keseluruhan 18 buah yang akan diperoleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) daripada Korea Aerospace Industries (KAI).


Kedua-dua pesawat berlepas dari Sacheon, Korea Selatan pada 29 Oktober 26 sebelum melaksanakan beberapa hentian transit di Jeju, Laoag, Filipina dan Labuan. Pesawat berlepas dari Pangkalan Udara Labuan hari ini pada jam 1.45 petang dan selamat mendarat di Pangkalan Udara Kuantan pada jam 3.38 petang.


Pesawat FA-50M ‘M58-01’ diterbangkan oleh juruterbang KAI, Mr Lee Donkyu bersama Pegawai Memerintah No 15 Skuadron, Mejar Mohd Jamil bin Awang TUDM. Manakala pesawat ‘M58-02’ diterbangkan oleh Mr Kim Inchul bersama Pegawai Laksana No 15 Skuadron, Mejar Muhammad Ashraf bin Wahab TUDM.


Kedua-dua pesawat seterusnya akan menjalani proses Final Acceptance Test (FAT) oleh TUDM sebelum penerimaan rasmi yang dijangka dilaksanakan pada penghujung November 2026.


Turut hadir menyaksikan detik bersejarah tersebut ialah Timbalan Panglima Tentera Udara, Leftenan Jeneral Dato’ Sri Nur Hafis bin Abdul Karim TUDM; Panglima Pendidikan dan Latihan Udara, Leftenan Jeneral Dato’ Mohd Sani bin Omar TUDM; Panglima Bantuan Udara, Mejar Jeneral Dato’ Ahmad Khusairi bin Ahmad Fadli TUDM; Mr Jae Byoung Cha, SEVP & Chief of Development Division KAI serta pegawai-pegawai kanan TUDM, wakil syarikat KEMALAK dan barisan eksekutif Pangkalan Udara Kuantan.



from DEFENSE STUDIES https://bit.ly/4iu58tn
via IFTTT