TLDM Bakal Peroleh 2 Kapal Hidrografi Baru dengan Belanjawan 2027
22 Oktober 2026
from DEFENSE STUDIES https://ift.tt/h2zNiZo
via IFTTT
KD Perantau 151 satu-satunya kapal survei hidrografi TLDM saat ini (photos: TLDM)
KUALA LUMPUR: Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dijangka dapat mempercepat pemetaan dasar laut menerusi perolehan dua kapal hidrografi baharu jenis Survey Motor Launch (SML), yang diluluskan di bawah Belanjawan 2027.
Panglima TLDM, Laksamana Tan Sri Dr Zulhelmy Ithnain berkata perolehan itu diluluskan di bawah Rolling Plan Kedua Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), namun proses untuk mendapatkan kapal berkenaan belum dimulakan.
Beliau berkata penambahan aset hidrografi itu penting bagi meningkatkan keupayaan pemetaan dasar laut, yang menjadi asas kepada penyelidikan saintifik, pembangunan dan keselamatan negara.
"Buat masa ini kita ada satu sahaja kapal hidrografi untuk membuat pemetaan. Jadi, untuk meliputi seluruh perairan Malaysia agak sukar.
"Dengan perolehan dua SML ini, proses itu akan boleh dipercepat. Kita harap pemetaan sepenuhnya menjelang 2050," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Seabed 2030 Indo-pacific Ocean Mapping Meeting & Data Sprint 2026 di sini hari ini.
Terdahulu dalam ucapannya, beliau berkata laporan Seabed 2030 mendapati hanya 28.7 peratus dasar laut dunia telah dipetakan mengikut piawaian moden, manakala lebih 70 peratus masih belum dipetakan dengan secukupnya.
Beliau berkata jurang itu mempunyai implikasi terhadap bidang sains, pembangunan dan keselamatan, sekali gus mengukuhkan keperluan Malaysia untuk meningkatkan keupayaan hidrografi negara.
Selain dua aset berkenaan, beliau berkata TLDM masih perlu bergantung kepada kapal sewaan bagi mempercepat proses pemetaan dasar laut, kerana aset sedia ada iaitu KD Perantau sudah berusia.
Dalam pada itu, Zulhelmy berkata pihaknya berpuas hati dengan peruntukan diumumkan dalam Belanjawan 2027, kerana membolehkan TLDM melaksanakan operasi yang diperlukan serta memperoleh aset baharu.
"Ada peningkatan daripada apa yang kita minta sebelum ini, tetapi kena faham juga bahawa harga sebelum ini dengan masa akan datang tidak sama. Jadi bajet itu stabil pada saya," katanya.
Mengenai perolehan aset lain, beliau berkata sebahagian keperluan yang dimohon sebelum ini masih dalam proses pelaksanaan dan perlu diselesaikan terlebih dahulu, sebelum TLDM memberi tumpuan kepada keperluan seterusnya.
Dalam perkembangan lain, Zulhelmy berkata cadangan bagi mewujudkan Akta Hidrografi yang bertujuan memberikan sandaran undang-undang kepada Pusat Hidrografi Nasional (PHN), masih dalam perbincangan.
Media sebelum ini melaporkan Ketua Pengarah PHN, Laksamana Muda Dr Najhan Md Said berkata akta khusus diperlukan, bagi menetapkan pusat itu sebagai pihak berkuasa nasional tunggal yang bertanggungjawab terhadap penghasilan carta nautika rasmi, tadbir urus data batimetri, serta pengisytiharan keselamatan maritim.
(Bernama)
from DEFENSE STUDIES https://ift.tt/h2zNiZo
via IFTTT

Post a Comment