TUDM Perkuat Intermediate Level Maintenance (ILM) Support FA-50M Melalui Perjanjian STIA dengan KAI

29 Juli 2026

Penandatanganan ILM Support bagi FA-50M TUDM (photo: TUDM)

KUALA LUMPUR – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Korea Aerospace Industries (KAI) telah melangsungkan Majlis Menandatangani Second Tier ICP Agreement (STIA) bagi Project No. 1: FA-50M Intermediate Level Maintenance (ILM) Support bertempat di Hotel Ritz-Carlton, Kuala Lumpur.

Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Asisten Ketua Staf Kejuruteraan, Mej Jen Muhd Aznor bin Hj Md Ghazali TUDM, yang mewakili TUDM, bersama Mr. Jo Hyunjun, Director and Head of Asia Marketing, yang mewakili Syarikat KAI.

Turut hadir ialah Timbalan Asisten Ketua Staf Perancangan dan Pembangunan, Brig Jen Mohd Faizal bin Abu Bakar TUDM; Pengarah Materiel, Kol Ramli bin Hj Endut TUDM; Pengarah Pembangunan Kejuruteraan, Lt Kol Saiful Nubli bin Abdul Ghani TUDM; KPSU Unit ICP Darat/Udara Bahagian Industri Pertahanan (BIP), Lt Kol Mohamad Saifuddin bin Surip TUDM; serta Mr. Michael Park, Malaysia ICP Team Leader dari KAI.

Majlis menandatangani STIA ini merupakan salah satu inisiatif di bawah Industrial Collaboration Program (ICP) bagi kontrak perolehan pesawat FA-50M bersama Syarikat KAI. Objektif utama pelaksanaan ICP ini adalah untuk membangunkan keupayaan Intermediate Level Maintenance (ILM) secara in house di Cawangan Kejuruteraan Pangkalan Udara Kuantan.

M58-01, pesawat FA-50M TUDM yang pertama (photo: TUDM)

Melalui inisiatif ini, TUDM akan diperkasakan dengan keupayaan menyelenggara empat sistem utama pesawat yang merangkumi wheel and brake system, gun system, alternate mission equipment (AME) dan avionics system. Kesemua keupayaan tersebut dijangka mula beroperasi sepenuhnya sebelum ketibaan pesawat FA-50M pada Oktober nanti.

Dalam ucapannya, Mr. Jo Hyunjun menzahirkan komitmen penuh KAI untuk memastikan program ini mencapai objektif yang telah ditetapkan. Beliau turut menegaskan bahawa syarikat KAI akan terus memberikan sokongan teknikal secara berterusan bagi memastikan pengoperasian pesawat FA-50M dapat dilaksanakan secara optimum.

Sementara itu, Asisten Ketua Staf Kejuruteraan menegaskan bahawa pemeteraian Second Tier ICP Agreement (STIA) ini bukan sekadar satu dokumentasi, malah merupakan manifestasi kepada perkongsian strategik yang kukuh antara TUDM dan KAI. Beliau turut menyatakan bahawa pembangunan keupayaan penyelenggaraan secara dalaman merupakan langkah proaktif TUDM ke arah self reliance dalam aspek penyelenggaraan aset.

Secara keseluruhannya, pelaksanaan Industrial Collaboration Program (ICP) ini dijangka mampu mengurangkan kebergantungan TUDM terhadap perkhidmatan luar bagi kerja-kerja penyelenggaraan. Langkah strategik ini bukan sahaja akan menjimatkan masa pembaikan sistem, malah memastikan rantaian logistik yang lebih efisien serta meningkatkan kesiagaan aset pertahanan negara, selaras dengan aspirasi Pelan Pembangunan Keupayaan TUDM 2055 (CAP55).



from DEFENSE STUDIES https://ift.tt/etSBIVy
via IFTTT