Pesawat Pejuang TUDM dan TNI-AU Laksana Rondaan Udara Bersama Menerusi Patkor Malindo Siri 1/26

19 Juli 2026

Patkor Malindo Siri 1/26 (photos: TUDM)

KUANTAN – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) melaksanakan Patroli Terkoordinasi (PATKOR) MALINDO Siri 1/26 bersama Tentera Nasional Indonesia – Angkatan Udara (TNI-AU) di ruang udara Selat Melaka.

Operasi siri pertama bagi tahun 2026 ini dilaksanakan bagi meningkatkan tahap pemantauan bersama dan kesiagaan operasi kedua-dua angkatan udara di kawasan strategik persempadanan Selat Melaka. Pelaksanaannya turut menjadi platform penting dalam memperkukuh kerjasama dua hala secara lebih bersepadu dan strategik, sekali gus terus mengeratkan hubungan diplomasi pertahanan yang telah lama terjalin antara Malaysia dan Indonesia.


Rondaan udara bersama ini juga berperanan sebagai Show of Presence yang menzahirkan komitmen teguh kedua-dua negara terhadap pemeliharaan keamanan, kedaulatan dan integriti ruang udara di perairan Selat Melaka.

Bagi rondaan kali ini, TUDM telah mengaturgerakkan 3 buah pesawat F/A-18D dari No. 18 Skuadron, Pangkalan Udara Kuantan dengan panggilan “Angkasa 108 A/B/C”, yang diterbangkan oleh Mej Khairul Asyraf bin Abd Aziz TUDM bersama Kapt Ahmad Nazhan bin  Ahmad Nazrin TUDM bagi Angkasa 108A, Kapt Muhammad Amirul Adly bin  Abdul Majid TUDM bersama Mej Mohd Azlan bin Kasiah TUDM bagi Angkasa 108B dan Mej Mohd Zahir bin Anuar TUDM bersama Lt Mohammad Alif Aiman bin Arhan TUDM bagi Angkasa 108C. Bagi pihak TNI AU pula, dua buah pesawat F-16C dari Skuadron Udara 16 berpangkalan di LANUD Roesmin Nurjadin, Kota Pekanbaru, telah terlibat menggunakan panggilan “Rydder”, diterbangkan oleh Kapten Pnb Wawan Setiawan bagi Rydder 1 dan Kapten Pnb Satriya Kristanto Wicaksono bagi Rydder 2.


Penyelarasan operasi turut melibatkan CRC Kuantan (panggilan “Kilau”) selaku Pusat Kawalan Operasi TUDM, bersama Joint Airspace Management Coordination Centre (JAMCC) Sepang dan Civil Aviation Authority of Malaysia (CAAM) sebagai penyelaras ruang udara negara. Di pihak TNI AU, Komando Sektor 1 (KOSEK 1) Medan (panggilan “Petir”) memainkan peranan sebagai Pusat Kawalan Operasi, memastikan keseluruhan pelaksanaan rondaan udara dilaksanakan secara teratur, selamat dan efektif.

Selain meningkatkan tahap kesiapsiagaan operasi kedua-dua angkatan udara, pelaksanaan rondaan bersama ini turut memperkukuhkan interoperabiliti, koordinasi, dan hubungan profesional antara TUDM dan TNI-AU dalam menangani sebarang ancaman keselamatan serta aktiviti rentas sempadan yang menyalahi undang-undang di kawasan Selat Melaka.


TUDM komited untuk terus memperkukuhkan kerjasama strategik bersama negara jiran menerusi pelaksanaan operasi bersama yang mampu meningkatkan keupayaan pertahanan udara serantau, sekali gus menyumbang kepada kestabilan dan keselamatan kawasan.

(TUDM)


from DEFENSE STUDIES https://ift.tt/CfHPoRX
via IFTTT