TUDM Terima Sistem Persenjataan FN MAG 58M 7.62MM Bagi Memperkasa Keupayaan Helikopter EC 725AP/H225M Dalam Misi CSAR

21 Juni 2026

Sistem Persenjataan FN MAG 58M 7.62mm bagi helikopter EC 725 AP/H225M TUDM (photos: TUDM)

KUANTAN – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) hari ini menerima penyerahan rasmi Sistem Persenjataan FN MAG 58M 7.62mm bagi helikopter EC 725 AP/H225M sebagai langkah memperkukuhkan keupayaan operasi Combat Search and Rescue (CSAR) dalam melaksanakan misi menyelamat di kawasan berisiko tinggi.

Perolehan sistem persenjataan ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan TUDM dalam meningkatkan kesiapsiagaan dan keberkesanan aset udara selaras dengan Pelan Pembangunan Keupayaan TUDM 2055 (CAP 55). Helikopter EC 725 AP/H225M merupakan aset utama TUDM yang berkeupayaan melaksanakan pelbagai misi termasuk operasi CSAR, bantuan kemanusiaan, pengangkutan taktikal dan operasi khas.


Bagi memenuhi keperluan operasi CSAR yang memerlukan perlindungan kendiri semasa berada di kawasan ancaman, TUDM telah melaksanakan perolehan awal sistem persenjataan untuk dipasang pada helikopter EC 725 AP/H225M. Sistem ini akan meningkatkan tahap keselamatan anak kapal dan anggota yang terlibat dalam misi menyelamat, sekali gus membolehkan operasi dilaksanakan dengan lebih berkesan dan selamat.

Kerajaan Malaysia telah menandatangani Letter of Acceptance (LOA) bersama syarikat pembuat senjata terkemuka dari Belgium, FN HERSTAL, bagi perolehan lima unit mesingan FN MAG 58M berkaliber 7.62mm. Senjata ini merupakan antara sistem persenjataan yang telah terbukti keberkesanannya dan digunakan secara meluas oleh angkatan tentera di seluruh dunia.


Sebelum penyerahan rasmi dilaksanakan, proses Final Acceptance Test (FAT) telah dijalankan bermula 30 Mac 2026 hingga 4 Jun 2026 melibatkan No 10 Skuadron di Pangkalan Udara Kuantan dan No 5 Skuadron di Pangkalan Udara Labuan. Pengujian tersebut bertujuan memastikan setiap sistem memenuhi spesifikasi teknikal, standard keselamatan dan keperluan operasi yang ditetapkan oleh TUDM.

Majlis penyerahan rasmi sistem persenjataan tersebut telah disampaikan oleh wakil syarikat Airbus Helicopters, Mr Axel de Pascal (Managing Director) kepada Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Dato' Sri Haji Muhamad Norazlan bin Aris TUDM bertempat di Pangkalan Udara Kuantan.



from DEFENSE STUDIES https://ift.tt/SoqXYmw
via IFTTT