Menhan Khaled Nordin Tinjau Kesiapan Operasi Pulau Layang-Layang

19 Juni 2026

Pangkalan Pulau Layang-Layang (Swallow Reef) adalah atol kecil di di Kepulauan Spratly, Laut China Selatan (image: GoogleMaps)

SABAH – Menteri Pertahanan, YB Dato’ Seri Mohamed Khaled bin Nordin telah mengadakan lawatan kerja ke Pulau Layang-Layang bagi meninjau kesiagaan operasi serta kebajikan warga Stesen LIMA TLDM yang memainkan peranan penting dalam mempertahankan kedaulatan negara di Laut China Selatan.


Dalam lawatan tersebut, beliau turut menerima taklimat mengenai pengoperasian stesen dan kemudahan sokongan yang membantu pelaksanaan tugas harian anggota dalam memastikan kesiapsiagaan pertahanan negara sentiasa berada pada tahap optimum.


Menteri Pertahanan turut menghadiri Program Restorasi Karang yang dilaksanakan menerusi kerjasama pelbagai agensi melibatkan Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Perikanan Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS). Inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memelihara ekosistem marin serta memastikan kelestarian terumbu karang di kawasan perairan strategik negara.


Pulau Layang-Layang akan terus diperkukuhkan sebagai benteng hadapan negara di Laut China Selatan melalui peningkatan infrastruktur strategik, kemudahan operasi, logistik, komunikasi serta penggunaan teknologi baharu termasuk sistem tanpa pemandu bagi mempertingkatkan kesedaran domain maritim negara.


Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim Ali, Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri (Dr.) Zulhelmy bin Ithnain, Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Haji Muhamad Norazlan bin Aris TUDM serta Panglima Angkatan Bersama, Leftenan Jeneral Datuk Tengku Muhammad Fauzi bin Tengku Ibrahim.



from DEFENSE STUDIES https://ift.tt/31AvDC2
via IFTTT