Kapal Kedua LMS Batch 2 Diluncurkan

08 Juni 2026

Kapal Kedua LMS Batch 2 diberi nama KD Raja Laut -142 (photos: TLDM)

ISTANBUL - Industri pertahanan maritim negara melakar satu lagi sejarah penting hari ini dengan terlaksananya Majlis Penamaan dan Pelancaran kapal kedua Littoral Mission Ship Batch 2 (LMSB2) bagi Tentera Laut Diraja Malaysia.

Majlis penuh tradisi ketenteraan ini telah disaksikan oleh Kepten Yang Dipertua TLDM, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, dan disempurnakan Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Hajah Norashikin selaku Royal Sponsor di Istanbul Shipyard.

Keberangkatan tiba DYMM Sultan Selangor dan Tengku Permaisuri Selangor disambut Timbalan Menteri Pertahanan, YB Adly bin Zahari; Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri (Dr.) Zulhelmy bin Ithnain dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim bin Ali.

Kapal perang moden kedua dalam siri LMSB2 ini secara rasminya telah dinamakan sebagai "RAJA LAUT", mengambil nama sempena tokoh bangsawan dan pentadbir berwawasan Selangor dari akhir abad ke-19. Raja Laut merupakan putera kedua kepada Sultan Muhammad Shah (Sultan Selangor ketiga) daripada titisan keturunan Bugis Opu Daeng Chelak. Gelaran "Laut" dikurniakan oleh pihak istana kerana baginda dilahirkan ketika bondanya sedang dalam pelayaran di perairan berhampiran Lukut.

Baginda merupakan mantan Penghulu Kuala Lumpur yang mempelopori asas perbandaran moden menerusi penubuhan Kuala Lumpur Sanitary Board pada tahun 1890, serta merintis pendidikan tempatan dengan menubuhkan sekolah Melayu vernakular pertama di ibu kota. Baginda telah dilantik sebagai Raja Muda Selangor pada tahun 1898 sebelum mangkat pada 9 Jun 1913.

Penerapan nama pada aset strategik TLDM merupakan simbol keberanian dan penghormatan tinggi terhadap identiti maritim negara. Kehadiran kapal ini bakal memperkasakan lagi kesiapsiagaan armada TLDM dalam memelihara keselamatan, kedaulatan, dan perlindungan ruang perairan negara secara komprehensif.

(TLDM)



from DEFENSE STUDIES https://ift.tt/1L3DQno
via IFTTT