Kerajaan Setujui Pemasangan Misil NSM Pada 6 Kapal Kelas KEDAH

30 Januari 2026

Kedah class NGPV saat ini berjumlah 6 kapal dalam armada TLDM (photo: Dvids)

Kerajaan lulus pasang sistem pelancar misil antipermukaan atas 6 kapal TLDM Kelas KEDAH
KUALA LUMPUR: Kerajaan meluluskan pemasangan sistem pelancar misil antipermukaan atau 'Surface to Surface Missiles' (SSM) ke atas semua enam kapal Kelas KEDAH milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Menteri Pertahanan, Datuk Sri Mohamed Khaled Nordin, berkata pemasangan itu dirancang secara berfasa, mengambil kira kesiapsiagaan teknikal kapal, keperluan operasi serta implikasi kos.

"Pada masa ini, TLDM sedang melaksanakan tinjauan harga bagi mengenal pasti kos sebenar keseluruhan projek," katanya melalui jawapan bertulis di laman web Parlimen.

Beliau menjawab soalan Nordin Ahmad Ismail (PN-Lumut) mengenai usaha pemasangan peluru berpandu NSM di atas kapal milik TLDM kelas Kedah di bawah Bajet 2026.

Mengulas lanjut, beliau berkata cadangan pemasangan peluru berpandu jenis Naval Strike Missile (NSM) ke atas kapal milik TLDM Kelas KEDAH adalah sebahagian inisiatif peningkatan keupayaan tempur permukaan bagi menangani keperluan operasi semasa dan masa hadapan.

NSM rudal permukaan ke permukaan (photo: Kongsberg)

"Pada peringkat awal, penilaian dan integrasi keupayaan ini memberi tumpuan kepada kapal utama sebagai platform perintis, sebelum dipertimbangkan peluasan kepada kapal-kapal lain dalam kelas yang sama, tertakluk keberkesanan pelaksanaan, keperluan operasi TLDM dan kelulusan peruntukan kerajaan," katanya.

Kapal Kelas KEDAH juga dikenali Kapal patrol Generasi Baharu (NGPV) adalah satu daripada lima kelas yang digariskan dalam Perancangan Transformasi 15-to-5 TLDM.

Dengan panjang 91.1 meter dan berat anggaran 1,650 tan, kapal ini mempunyai ruang dan berat simpanan untuk sistem persenjataan tambahan, namun tidak dipasang semasa ditauliahkan.

Ketika ini terdapat enam buah kapal dalam Kelas KEDAH iaitu KD Kedah, KD Pahang, KD Perak, KD Terengganu, KD Kelantan dan KD Selangor.

Dalam pada itu, Mohamed Khaled berkata, pendekatan berperingkat ini mencerminkan usaha Kementerian Pertahanan untuk memastikan peningkatan keupayaan tempur TLDM dilaksanakan secara berhemah, berkeutamaan dan memberikan nilai terbaik kepada kerajaan, selaras keperluan keselamatan maritim dan kemampuan fiskal negara.



from DEFENSE STUDIES https://ift.tt/b5BT16r
via IFTTT