TLDM Pensiunkan KD Hang Tuah
04 Desember 2025
from DEFENSE STUDIES https://ift.tt/oDuiWZl
via IFTTT
KD Hang Tuah adalah fregat yang sebelumnya dioperasikan oleh Angkatan Laut Kerajaan Malaysia dari tahun 1977 hingga 2018. Kini, ia menjadi kapal museum (photos: TLDM)
Majlis pelucutan tauliah KD Hang Tuah - tamatnya satu era perkhidmatan
Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) hari ini mencatat satu lagi detik penting dalam sejarahnya apabila sebuah lagi kapal perang, KD HANG TUAH, secara rasmi dilucut tauliah dalam satu acara penuh istiadat ketenteraan yang berlangsung di Pangkalan TLDM Lumut. Upacara penuh simbolik ini disempurnakan oleh Panglima Armada Barat, Laksamana Madya Dato’ Baharudin bin Wan Md Nor. Upacara ini menandakan tamatnya perkhidmatan sebuah kapal perang yang telah mewarnai perjalanan TLDM selama hampir lima dekad.
Sejak ditauliahkan ke dalam perkhidmatan Seri Paduka Baginda pada 22 Julai 1977, KD HANG TUAH telah memainkan peranan yang aktif sebagai kapal tempur barisan hadapan TLDM. Selari dengan nama besar yang diberi, kapal ini sering ditugaskan untuk menerajui pelbagai tugas operasi untuk memelihara kedaulatan dan kepentingan maritim negara yang pada ketika itu masih baharu dan berdepan pelbagai bentuk ancaman terhadap kewujudannya. Peranan ini bagaimanapun secara beransur-ansur diambil alih oleh kapal perang lain yang lebih moden dan berkeupayaan manakala bermula di era 80-an, KD HANG TUAH lebih banyak menumpukan perhatiannya sebagai platform latihan untuk warga TLDM.
Majlis pelucutan tauliah hari ini berlangsung dalam suasana syahdu dengan kehadiran kru-kru terdahulu serta mantan para Pegawai Memerintah yang pernah memegang tampuk pemerintahan KD HANG TUAH. Suasana bertambah hening dan menyentuh perasaan tatkala ketukan loceng kapal bergema dan gada-gada diturunkan, masing-masing mengimbau kembali kenangan dan detik-detik bersejarah ketika berkhidmat di kapal ini. Detik ini bukan sekadar pengakhiran sebuah perkhidmatan, tetapi juga menutup sebuah era yang telah membentuk identiti angkatan laut negara menerusi peralihan dari kapal-kapal kecil pesisir pantai kepada keupayaan untuk beroperasi dilaut lepas.
Pelucutan tauliah KD HANG TUAH juga merupakan sebahagian daripada usaha berterusan TLDM untuk memodenkan Armadanya selaras dengan aspirasi Program Transformasi 15 ke 5. Program ini bertujuan untuk meningkatkan keupayaan TLDM selari dengan perkembangan teknologi dan perubahan landskap pertahanan pada kos yang optimum serta memberi pulangan lebih tinggi pada negara.
KD Hang Tuah Sejarah ringkas kapal yang dilucut tauliah
Dibina di Scotland sebagai BLACK STAR untuk Ghana dan kemudiannya ditauliahkan sebagai HMS MERMAID dalam Tentera Laut Diraja British, kapal ini akhirnya diserahkan kepada Malaysia dan ditauliahkan sebagai KD HANG TUAH pada 22 Julai 1977. KD HANG TUAH dinamakan sempena seorang tokoh pahlawan dalam sejarah Tanah Melayu yakni Laksamana Hang Tuah yang sinonim dengan sifat keberanian dan kesetiaan yang luar biasa. Dengan panjang 103.5 meter, lebar 12.02 meter dan berat sasaran 2300 tan, kapal ini mampu bergerak dengan kelajuan maksima 24 knot.
Sejak pelayaran sulungnya dari Portsmouth bersama 163 kru yakni anak watan, kapal yang menjadi tulang belakang pertahanan maritim negara diera 70-an hingga 90-an ini telah belayar sejauh 313,784.95 batu nautika. Selain tugas operasi ia turut kerap menyertai eksesais dalam negara serta antarabangsa seperti MALINDO JAYA, EMAS HITAM, MILAN, KAKADU dan BERSAMA LIMA. Sepanjang hampir lima dekad perkhidmatannya, KD HANG TUAH telah melahirkan barisan pemimpin TLDM yang berwibawa, selain menerima pelbagai pengiktirafan seperti anugerah IMO, Piala Agong dan Piala Gonzales. Legasinya masih belum berakhir, sebaliknya diteruskan sebagai warisan maritim negara yang akan mendidik dan menginspirasikan generasi akan datang.
(TLDM)
from DEFENSE STUDIES https://ift.tt/oDuiWZl
via IFTTT


Post a Comment