Penyerahan Hoverkraf SALAMANDER kepada TDM Dijangka Oktober Ini
26 Maret 2025
from DEFENSE STUDIES https://ift.tt/CjEFV8T
via IFTTT
Hoverkraf Kaiman atau Salamander dalam bahasa tempatan (all photos: Airlift Hovercraft)
Hoverkraf berkenaan mampu bergerak pantas atas air dan darat dengan minimum masa pengoperasian tujuh jam pada 'cruising speed' tanpa pengisian semula minyak.
KUALA LUMPUR: Fasa pertama penyerahan dua unit Hovercraft Fast Interceptors atau nama tempatannya SALAMANDER kepada Tentera Darat Malaysia (TDM) dijangka dilaksanakan pada Oktober ini.
Pengurus Pembangunan Perniagaan IDC Technologies Sdn Bhd, Lt Kol (B) Shahrulamir Abd Rahman, berkata fasa kedua pula akan membabitkan penyerahan baki empat unit hoverkraf yang dijadualkan pada Oktober 2026.
"Ini perolehan dan pengalaman pertama TDM dalam mengendalikan dan mengoperasikan hoverkraf," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
IDC Technologies memenangi tender pembekalan enam unit hoverkraf pada Januari lalu bernilai RM20.37 juta.
IDC Technologies akan membekalkan hoverkraf keluaran Airlift Hovercraft Pty Ltd yang berpangkalan di Queensland, Australia bagi model Kaiman atau nama tempatannya SALAMANDER bagi perolehan ini.
Beliau berkata, syarikat Bumiputera itu juga akan melaksanakan kursus pengendalian kepada pasukan pengguna yang melibatkan anggota teknikal dan pengendali bagi memastikan pengoperasian hoverkraf itu kelak berjalan lancar.
Shahrulamir berkata, hoverkraf berkenaan yang mampu memuatkan 10 orang termasuk dua pengendali dan lapan penumpang adalah aset amfibia (dua alam) yang boleh bergerak di darat dan air.
Ia sekali gus membolehkan aset itu digunakan untuk pelbagai operasi khas ketenteraan seperti kerja penyusupan atau pendaratan pantas dan sesuai untuk operasi mencari dan menyelamat (SAR).
Hoverkraf itu juga boleh digunakan bagi operasi Military Operation Other than War (MOOTW), termasuk bantuan kemanusiaan dan bencana (HADR) seperti menyelamat mangsa banjir dan sangat berguna untuk operasi di kawasan yang sukar diakses seperti pantai, paya, atau kawasan dilanda banjir.
Shahrulamir juga memaklumkan bahawa syarikatnya juga aktif menyertai beberapa tender Kementerian Pertahanan serta bercadang mengambil bahagian tender perolehan aset strategik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada masa hadapan.
(Bernama)
from DEFENSE STUDIES https://ift.tt/CjEFV8T
via IFTTT
Post a Comment