Belanjawan 2025, Peruntukan RM675 Juta Bakal Perkukuh Keupayaan Maritim Malaysia

26 Oktober 2024

Rincian belanja APMM RM675 juta untuk tahun 2025 (image: APMM)

PUTRAJAYA - Peruntukan yang telah diumumkan Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Anwar bin Ibrahim kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) sempena Belanjawan MADANI 2025 yang dibentangkan pada Jumaat lalu akan memperkukuhkan lagi keupayaan Agensi ini dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab menjaga keselamatan maritim negara.

Ketua Pengarahnya, Laksamana Muda Maritim Datuk Haji Mohd Rosli bin Abdullah berkata, Kerajaan telah memperuntukan sejumlah RM675 juta kepada Maritim Malaysia bagi penyelenggaraan kapal sedia ada dan perolehan kapal baharu dalam usaha mengukuhkan kesiagaan Agensi ini menjaga Zon Maritim Malaysia.

Beliau berkata demikian melalui satu Kenyataan Media rasmi yang dikeluarkan Maritim Malaysia bagi menyambut kenyataan daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini semalam.

Mengulas lanjut, Datuk Haji Mohd Rosli memaklumkan pecahan peruntukan yang diterima meliputi RM150 juta untuk penyelenggaraan enam buah kapal sedia ada di bawah Ship Life Extension Programme (SLEP) Fasa dua bagi memastikan jangka hayat operasi kapal-kapal berkenaan dapat dioptimumkan.

Manakala RM350 juta telah diperuntukan bagi proses perolehan sebuah kapal Multi-Purpose Mission Ship (MPMS). Kapal ini jelas beliau akan dilengkapi dengan pelbagai keupayaan pelbagai misi operasi yang membolehkan Maritim Malaysia melaksanakan operasi di laut dengan lebih berkesan.

Tambah beliau, sejumlah RM160 juta pula diperuntukkan bagi perolehan dua buah Kapal Peronda Generasi Baharu (NGPC) yang bakal dilengkapi dengan teknologi terkini dalam usaha meningkatkan keupayaan rondaan dan penguatkuasaan di kawasan perairan yang lebih luas dan mencabar.

Selain kapal baharu, Datuk Haji Mohd Rosli turut memaklumkan Maritim Malaysia bakal menerima sebuah kapal peronda United States Coast Guard Cutter (USCGC) bagi meningkatkan lagi keupayaan Agensi memantau perairan negara, terutamanya di kawasan-kawasan strategik. Bagi tujuan tersebut, Kerajaan telah memperuntukan sebanyak RM15 juta untuk penyelenggaraan dan pembaikan kapal berkenaan sebelum ia dibawa pulang ke negara ini tahun hadapan.

Terdahulu, Datuk Haji Mohd Rosli menegaskan peruntukan yang telah diumumkan ini membuktikan komitmen Kerajaan MADANI dalam memastikan Maritim Malaysia dapat meningkatkan keupayaan operasi dan rondaan sekaligus mengatasi segala bentuk ancaman jenayah di Zon Maritim Malaysia.

(APMM)



from DEFENSE STUDIES https://ift.tt/B08TZXm
via IFTTT