Mindmatics Malaysia Perkenalkan Drone Kamikaze (Loitering Munition)
10 Mei 2024
Mindmatics TODAK drone kamikaze (photo: Mighty War)KUALA LUMPUR: Dron amunisi musnah sendiri atau 'kamikaze' buatan pertama Malaysia yang juga ciptaan dirintis syarikat tempatan Mindmatics, bakal dikomersialkan tidak lama lagi.
Dinamakan sebagai 'Todak', dron inovatif itu mengambil masa setahun untuk dibangunkan dan kini masih dalam proses kajian dan pembangunan lebih lanjut yang dijangka selesai enam bulan lagi.
Mindmatics TODAK loitering munition/done kamikaze (images: Mindmatics)Memperkenalkan senjata itu pada pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2024, di sini, Pengurus Projek Azman Ahmad, berkata dron terbabit berfungsi menyerang dengan tepat untuk memusnahkan sasaran yang dikehendaki.
"Sebelum ini, kami telah membangunkan dron pemantauan tetapi kali ini, kami maju selangkah lagi dengan dron 'kamikaze' untuk objektif dan tujuan khusus.
"Terdapat beberapa agensi menunjukkan minat terhadap produk ini, dan kami melihat ada potensi pasaran dalam kalangan agensi penguat kuasa tempatan serta wilayah," katanya kepada Bernama di reruai Mindmatics pada pameran itu yang berlangsung di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa (MITEC), di sini.
'Todak' yang direka bentuk sebagai amunisi risikan dalam industri pertahanan, turut dilengkapi algoritma kawalan Kecerdasan Buatan (AI) serta Unit Kawalan Api (FCU) bersaiz kecil.
Azman berkata, dron itu dikuasakan dengan bateri litium-besi pepejal 25.5 voltan dengan masa operasi hingga 40 minit, selain berupaya terbang serta menyerang sasaran pegun atau bergerak tanpa memerlukan input pemantauan.
"'Todak' berukuran dua meter (m) panjang dengan kelebaran sayap 1.35m dan berat pelepasan maksimum 12 kilogram (kg). Ia mampu membawa beban seberat 3kg dan mencapai kelajuan 100 kilometer sejam dengan kaedah pelancaran menggunakan lastik (catapult)," katanya.
(Bernama)
from DEFENSE STUDIES https://bit.ly/4bgFXFZ
via IFTTT
Post a Comment