Pengiriman Komponen Helikopter Sikorsky S61A-4 Nuri TUDM

06 Juli 2021

Pengiriman komponen helikopter Nuri S61A-4 (photos : TUDM)

Kawad Konvoi Sempena Penghantaran Komponen Pesawat Helikopter Sikorsky S61A-4 Nuri  No. 3 Skuadron ke Depoh Materiel Utama (DMU) Pangkalan Udara Subang

BUTTERWORTH - Pangkalan Udara Butterworth (PU Butterworth) buat julung kalinya telah melaksanakan kawad konvoi bagi penghantaran komponen pesawat helikopter Sikorsky S61A-4 Nuri dari No. 3 Skuadron, Pangkalan Udara Butterworth ke Depoh Materiel Utama (DMU), Pangkalan Udara Subang secara besar-besaran. Kawad konvoi proses penghantaran komponen tersebut melibatkan pergerakan 20 buah kenderaan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) iaitu lapan (8 buah Treller Prime Mover, tiga (3) buah Frontier, tiga (3) buah kenderaan utiliti, dua (2) buah kenderaan 3 Tan, dua (2) buah kenderaan jenis Hilux, sebuah bas TUDM dan sebuah kenderaan SUV Fortuner. Konvoi ini mendapat bantuan penuh dengan tiga (3) buah motosikal pengiring dari Cawang Trafik, Polis Diraja Malaysia (PDRM). Pemindahan komponen pesawat helikopter ini adalah untuk pelaksanaan proses Preservation dan Long Term Storage Pesawat Nuri sementara menunggu proses pelupusan secara rasminya.


Pelaksanaan pemindahan komponen pesawat melibatkan enam (6) pegawai dan 88 anggota Lain-lain Pangkat (LLP) yang diketuai oleh Mejar Narmiazrul bin Abdul Rahman TUDM, Ketua Flait Kejuruteraan No. 3 Skuadron dan diiringi oleh Kapten Shazmi bin Hilmi TUDM, Ketua Fleet Kenderaan PU Butterworth yang juga selaku Ketua Pergerakan Konvoi. Pergerakan ini turut diiringi anggota bersenjata daripada Skuadron 214 HANDAU, PU Butterworth bagi memastikan keselamatan aset TUDM sepanjang perjalanan.

Peristiwa bersejarah ini diabadikan dengan pelepasan kumpulan kawad konvoi oleh Komander PU Butterworth, Brigedier Jeneral Shaiful Azuar bin Ariffin TUDM serta turut disaksikan oleh pegawai-pegawai eksekutif pangkalan di samping pematuhan mengikut Standard Operation Procedure (SOP) yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi mencegah penularan wabak Covid-19. Konvoi berlepas pada jam 8.30 pagi dan selamat tiba di DMU, PU Subang pada jam 2.30 petang.

Pihak pengurusan tertinggi PU Butterworth turut menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung yang telah menjayakan proses pemindahan komponen pesawat Nuri ke DMU, PU Subang dengan teratur dan lancar. 



from DEFENSE STUDIES https://bit.ly/3yFq7kL
via IFTTT