Latihan Perang Borneo Libat 10 Aset TLDM, Helikopter TUDM

11 Maret 2021

Latihan Perang Borneo (PB) Siri 2/21 (all photos : Utusan Borneo)

SANDAKAN:  Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) telah mengadakan Latihan Perang Borneo (PB) Siri 2/21 melibatkan 10 aset laut di Perairan Sandakan.

Latihan itu merupakan pendekatan dinamik bagi menilai kesiagaan dan keupayaan Armada Markas Wilayah Laut 2 (MAWILLA 2).

Sepuluh aset laut yang menyertai latihan itu melibatkan KD Kedah, KA Tun Azizan, KD Paus, KD Baung, KD Todak, KD Yu, KD Sri Gaya, KD Sri Tiga, KD Sri Johor, dan Bot Tempur CB 90 HEX.

Sebuah helikopter jenis EC 725 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) turut menyertai latihan kali ini yang diterbangkan khas dari Pangkalan Udara Labuan.


Latihan itu telah dilaksanakan selama dua hari bermula pada 24 Februari lepas yang melibatkan latihan fasa pelabuhan dan fasa laut.

Elemen Tugas (Task Element) yang terdiri daripada 11 buah aset itu telah diaturgerak ke kawasan latihan dalam keadaan bertindak.

Kapal-kapal yang terlibat telah diuji dengan beberapa siri latihan seperti melalui kawasan bebas periuk api, ilmu kelautan, pengoperasian helikopter, persenjataan, komunikasi, taktik peperangan dan  kecemasan.

Latihan dilaksanakan bertujuan bagi menguji tahap kesiapsiagaan kru kapal dalam menghadapi pelbagai situasi kecemasan di atas dan bawah permukaan air.


Latihan siri kedua ini telah disertai oleh Panglima Armada Timur, Laksamana Madya Dato’ Sabri Zali yang turut menyertai latihan siri 2 itu berkata, “Eksesais Perang Borneo kali ini bukan sahaja bermatlamat untuk meningkatkan tahap kompetensi Armada tetapi juga bagi menguji tahap kesiapsiagaan aset-aset terlibat terutamanya semasa negara sedang menghadapi ancaman pandemik COVID-19.

“Latihan Perang Borneo ini merupakan persediaan awal menghadapi eksesais yang berskala lebih besar dengan penglibatan negara-negara asing pada masa hadapan kelak," katanya.

Sabri berkata pihak TLDM juga berbangga kerana KD Sundang bakal ditauliahkan pada awal bulan Mac ini dan diharapkan dengan pengoperasian aset TLDM baharu ini akan memantapkan lagi kesiapsaigaan Armada dalam memelihara kedaulatan maritim di wilayah Pantai Timur Sabah ini.

Latihan itu juga turut disertai oleh Panglima Wilayah Laut 2, Laksamana Muda Rusli Ahmad.


Pelaksanaan latihan ini adalah selaras dengan Standard Operating Procedure (SOP) pencegahan penularan wabak COVID-19 yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di mana kesemua warga #NavyPeople yang terlibat telah disahkan bebas daripada jangkitan wabak.

Pelaksanaan latihan ini juga secara tidak langsung memberi impak yang positif kepada komuniti maritim di Pantai Timur Sabah dalam meningkatkan keyakinan terhadap  kemampuan dan komitmen TLDM amnya dan MAWILLA 2 khasnya bagi mengekalkan kestabilan dan keselamatan perairan setempat.

Kejayaan pelaksanaan Latihan PB Siri 2/21 ini membuktikan kemampuan aset-aset Armada TLDM MAWILLA 2 dalam memenuhi keperluan operasi di Kawasan Operasi Maritim (KOM) Zon Keselamatan Pantai Timur Sabah (ESSZone).



from DEFENSE STUDIES https://bit.ly/3t99wTC
via IFTTT